SEJARAH NEGERI PERAK
Asal Usul Negeri Perak
Nama :-
Ada berbagai-bagai pendapat mengenai asal usul nama Negeri Perak.
Setengah pendapat mengatakan bahawa nama itu diambil bersempena dengan
Bendahara Tun Perak dari Melaka dan setengahnya pula mengatakan ia diambil dari
'kilatan ikan dalam air' yang berkilau seperti perak. Justeru dari pengenalan
nama negeri ini sendiri telah membayangkan tentang khazanah yang terkandung di
buminya.
Pengasas :-
Titik sejarah Negeri Perak sebenarnya bermula dengan penabalan Sultan
Muzaffar Syah l yang berketurunan dari Sultan Mahmud Syah Melaka pada tahun
l528. Walaupun zaman Kesultanan Negeri Perak telah muncul tetapi kuasa-kuasa
tempatan masih diakui berkuasa. Corak pemerintahan yang dijalankan adalah
urutan dari sistem feudal di Melaka yang berdemokrasi.
Salah silah :-
Negeri Perak sebenarnya telah wujud pada zaman pra sejarah lagi. Kota
Tampan di Lenggong merupakan satu-satunya kawasan yang terbukti wujudnya Zaman
Batu Lama di Tanah Melayu. Bertolak dari tarikh antara 400,000 hingga 8,000
tahun sebelum masihi, Negeri Perak telah mengalami evolusi dari masa ke masa.
Kesan peninggalan sejarah zaman batu ini terbukti dengan jumpaan alat-alat batu
dan fosif-fosil manusia dikenali dengan nama Perak Man.
Negeri Perak merentasi Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan
Zaman Logam, yang dapat dibuktikan dengan jumpaan-jumpaan tertentu. Ini disusuli
pula dengan zaman Hindu/Buddha yang dijangkakan berlaku serentak dengan
lain-lain kawasan di Tanah Melayu.
Selepas zaman ini, alam persejarahan Negeri Perak telah maju setapak
lagi dengan wujudnya kerajaan-kerajaan tempatan seperti Manjung di Daerah Dinding
dan Beruas (wujud setelah Manjung luput). Begitu juga beberapa kerajaan lagi di
Perak Tengah dan Ulu seperti Tun Saban dan Raja Roman. Serentak dengan itu
Islam mula bertapak kukuh di negeri ini.
Negeri Perak lebih dikenali setelah kekayaan buminya diketahui iaitu
ekoran dari penemuan bijih timah di Larut pada tahun l848 oleh Cik Long Jaafar.
Dengan kejumpaan ini ekonomi Negeri Perak berkembang dengan pesat dan lebih
banyak kawasan perlombongan dibuka. Selain bijih timah, getah juga memainkan
peranan yang penting dan ditanam setelah 34 orang Sultan memerintah turun
temurun. Implikasi dari perkembangan ekonomi ini telah mengwujudkan masyarakat
majmuk terutama kaum Cina yang bekerja di lombong-lombong di negeri ini.
Inggeris yang telah lama menaruh hati terhadap Negeri Perak telah campur
tangan melalui Perjanjian Pangkor l874 setelah wujudnya kacau bilau di Larut.
Dari campur tangan ini sistem pentadbiran Residen telah diperkenalkan dengan
J.W.W.Birch sebagai Residen pertamanya.
Pada mulanya sistem Residen dijangkakan mendatangkan implikasi yang
baik, tetapi kerana pelaksanaannya yang menyeleweng dan ditambah dengan sikap
masyarakat pribumi yang tidak mahu dijajah, telah berlaku penentangan yang
diketuai oleh Datuk Maharaja Lela. Akibatnya J.W.W.Birch dibunuh pada tahun
1875. Sistem Residen masih juga diteruskan sehinggalah kedatangan Jepun di
Tanah Melayu pada tahun 194l. Negeri Perak turut mengalami kepahitan semasa
pendudukan Jepun hingga tahun l945. Babak penjajahan Inggeris selepas Jepun
menyerah diri belum berakhir, malah diteruskan sehingga darurat berlaku pada
tahun 1948. Keganasan banyak berlaku di Negeri Perak yang mana Parti Komunis
Malaya bertanggung jawab mengenainya.
Zaman Pra Sejarah Negeri Perak
Zaman Batu Lama
(Paleolitik) :-
Zaman ini dianggarkan berlaku antara 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum
masihi. Satu-satunya kesan peninggalan ini di Tanah Melayu ialah tapak yang
dijumpai di Kota Tampan, Lenggong. Peninggalan zaman ini juga dikenali dengan
kebudayaan Tampan di mana peninggalannya merupakan alat-alat batu yang belum
sempurna buatannya.
Zaman Hoabinhian :-
Zaman ini dianggarkan berlaku antara 8,000 hingga 2,000 tahun sebelum
masihi. Kesan peninggalannya dijumpai di Gua Badak, Lenggong, Gunung Pondok,
Padang Rengas dan beberapa buah gua lagi di Negeri Perak; berupa alat-alat batu
yang lebih elok buatannya termasuk lesung batu untuk membuat pencelup merah
(haematite).
Zaman Batu Baru
(Neolitik) :-
Zaman ini wujud antara 2,000 hingga 300 tahun sebelum masihi.
Kesan-kesan daripada alat-alat peninggalan yang dijumpai di Gua badak, Lenggong
dan persekitarannya, Gua Tambun, Ipoh dan lain-lain lagi berkeadaan lebih
sempurna dan licin serta dapat dikenali jenisnya. Mereka juga telah pandai
menggunakan tembikar untuk memasak makanan dan membuat pondok tempat tinggal.
Disamping itu mereka juga telah pandai bercucuk tanam.
Zaman Logam (Metal
Age) :-
Zaman ini wujud antara 500 hingga 200 tahun sebelum masihi. Tempat-tempat
yang pernah dijumpai seperti di Changkat Menteri, Sungkai dan Slim River
menunjukkan bahawa masyarakatnya telah menggunakan logam seperti gangsa dan
besi untuk membuat mata lembing, mata kail dan mata anak panah. Terdapat juga
sejenis alat besi yang aneh bentuknya yang dikenali sebagai 'Tulang Mawas' yang
dijumpai tertanam di dalam kubur Batu Ubin.
Zaman Hindu/Buddha :-
Jumpaan di Kuala Selensing, Perak dianggap sebagai zaman peralihan
sebelum Hindu/Buddha, manakala zaman Hindu/Buddha pula merupakan zaman
pembukaan lembaran Sejarah Negeri Perak. Pengaruh kebudayaan orang-orang India
dan kepercayaan Hindu di rantau ini sejak awal kurun masihi lagi telah mengubah
sama sekali sistem nilai masyarakat di Tanah Melayu. Jumpaan patung-patung
Hindu/Buddha dan beberapa alat pemujaan seperti di Bidor, Jalong dan Pengkalan
Pegoh membuktikan wujudnya pengaruh ini.
Perak Selepas Pra
Sejarah
Zaman Kedatangan Islam
dan Sebelum Kesultanan :-
Kerajaan Manjung di Beruas dianggap sebagai Kerajaan tertua di Perak.
Selepas lenyapnya Manjung, kira-kira pada awal kurun ke l5 telah wujud Kerajaan
Melayu Beruas. Dari bukti-bukti yang terpahat di batu nisan yang ada
menunjukkan bahawa sebuah Kerajaan Islam. Adalah dipercayai bahawa Islam datang
ke Perak melalui negeri seperti Melaka dan negeri-negeri di Pantai Timur.
Di samping itu Islam telah berkembang hingga ke pendalaman Negeri Perak
melalui jalan Sungai Perak. Selain Kerajaan Beruas terdapat kuasa-kuasa
pembesar tempatan di Ulu Perak seperti Kerajaan Roman, Tun Saban, To' Temong
dan lain-lain kerajaan yang belum dapat dikesan.
Zaman Kesultanan :-
Titik kegemilangan sejarah Negeri Perak ialah setelah wujudkan sistem
kesultanan yang merangkumi kawasan seluas 8,ll0 batu persegi. Pertabalan Sultan
Mudzaffar Shah l pada tahun l528 telah membuka lembaran baru ke arah pemodenan.
Kejumpaan bijih timah oleh Cik Long Jaafar di Larut pada tahun l824
telah mencepatkan lagi kemajuan Negeri Perak. Ditambah dengan kemasukan
Inggeris pada tahun l874 telah memperkenalkan getah sebagai sumber ekonomi yang
baharu. Akibat dari ini banyak imigran terutama kaum Cina dan India datang ke
negeri ini.
Dari dua sumber ekonomi di atas di samping sumber ekonomi
tradisionalnya, Negeri Perak Darul Ridzuan telah berkembang pesat di bawah
naungan 34 orang sultannya hingga sekarang ini.
Penjajahan Inggeris yang berlaku bermula dari tahun l874 telah
memperkenalkan beberapa sistem pentadbirannya yang mana akhirnya wujud
penentangan terhadap sistem tersebut.
Campur Tangan Inggeris
:-
Termeterinya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari l874 antara Inggeris dan
pembesar-pembesar Melayu Perak telah mengesahkan kekuasaan Inggeris di Perak
khasnya dan Negeri-Negeri Melayu amnya. Beberapa faktor mempengaruhi campur
tangan ini diantaranya ialah kekayaan bumi Perak sendiri, pergeseran
pembesar-pembesar untuk berkuasa dan kacau bilau yang berlaku di Larut antara
puak-puak Cina.
Melalui campur tangan ini Inggeris memperkenalkan sistem Residen yang
dianggap dapat membaiki sistem pemerintahan tradisional.
Teks Perjanjian
Pangkor Pada 20 Januari 1874 :-
-
Raja Abdullah
diakui sebagai Sultan yang sah menggantikan Sultan Ismail yang akan diberi
gelaran serta pencen sebanyak $l,000/- sebulan.
-
Sultan akan
menerima seorang Residen Inggeris yang nasihatnya mesti diminta dan diikuti
dalam segala hal kecuali yang menyentuh agama dan adat istiadat orang-orang
Melayu.
-
Semua pungutan
dan kawalan cukai serta pentadbiran negeri mestilah dijalankan atas nama sultan
tetapi disusun menurut nasihat Residen.
-
Menteri Larut
akan terus berkuasa, tetapi tidak lagi diakui sebagai pemerintah yang merdeka.
Sebaliknya seorang Pegawai Inggeris akan dilantik di Larut yang mempunyai
bidang kuasa yang luas untuk mentadbirkan daerah tersebut.
-
Gaji Residen
akan dibayar oleh Sultan, bukan dibayar oleh Kerajaan Inggeris.
Penentangan Terhadap
Sistem Pentadbiran Inggeris :-
Sistem Residen bukanlah sebagai pembaikan kepada sistem pemerintah
tradisional, tetapi dianggap sebagai sistem penindas. Ini disebabkan Inggeris
lebih mendapat manafaatnya. Dalam pelaksanaannya pula penyelewengan kuasa telah
dilakukan oleh Residen pertamanya J.W.W.Birch. Implikasinya masyarakat pribumi
tidak puas hati dan berlakulah penentangan. Di akhirnya J.W.W. Birch dibunuh
pada tahun 1875. Walaupun begitu sistem ini diteruskan hingga Jepun bertapak di
Tanah Melayu.
Sistem Pemerintahan
Residen :-
Kuasa Residen yang diperkenalkan menerusi sistem pemerintahan ala Barat
yang dikatakan lebih moden itu didapati serba bertentangan dengan pola
pemerintahan tradisional Melayu. Sultan dan Pembesar-pembesar tidak lagi
berfungsi sebagai pemerintah mutlak kecuali hal-hal yang bersangkutan dengan
agama dan adat istiadat Orang Melayu sahaja. Justru itu telah berlaku penentangan
demi penentangan tetapi sistem ini terus berlanjutan sehingga pendudukan Jepun.
Perang Dunia Pertama -
'Zaman Meleset' :-
Walaupun Perang Dunia Pertama yang meletus pada tahun l914 itu berlaku
di Eropah, tetapi bahangnya turut dirasai oleh seluruh dunia.
Negeri Perak terlibat secara tidak langsung menerusi hubungan
perdagangan antarabangsa dengan ekspot utama bijih timah dan getah aslinya,
telah mengalami kemerosotan pendapatan. Implikasinya, seluruh pembangunan
terpaksa dibekukan sehingga dunia kembali aman.
Perang Dunia Kedua :-
Bahana Perang Dunia Kedua turut dirasai di Persekutuan Tanah Melayu pada
8 Disember l94l dengan pendaratan tentera-tentera Jepun di Kota Bharu.
Negeri Perak telah jatuh ke tangan Jepun pada l Januari l942. Pahit
getir zaman pendudukan Jepun ini ditanggung oleh rakyat sehingga tahun l945.
No comments:
Post a Comment